Wednesday, March 9, 2011

HADIAH BUAT BAKAL ISTERI TERCINTA

Wed, March 2, 2011 11:16:57 PM

nukilan: amirosafwan, jordan.






Coretan Untuk Bakal Isteri

Assalamualaikum wrt. wbt.

Untukmu, Bakal isteriku..

*izinkanku menggunakan "aku" dan "mu" dalam coretan hati ini...


Tangan ini mula menulis apa yang telah terbit dari hati kecilku ini. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu semata-mata akan tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya lalu mencukupkannya dan apa yang ku harapkan semoga dirimu tercipta untukku.


Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah yang ku tulis ini. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segala segi untuk bertemu denganmu wahai bidadari hatiku.


Aku mahukan pertemuan kita yang pertama dihadapan keluargamu kelihatan 'sempurna' di matamu, walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas dan pikul nanti. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya. Seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala yang ada dalam diriku ini.


Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah pula, digelar syeikh. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti dan aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi hanya untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Tetapi sehingga sekarang aku masih teguh menetapkannya.


Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mentarbiyyah diriku ini. Janji Allah pasti kupegang dalam misi memenangi dirimu kerana aku bergantung kepada Allah dan mengharapkan redhaNya dalam mendapatkan cinta darimu.


Setiap kali aku merasakan cintaku padamu, lalu aku serahkan cinta ini pada Allah. Sampaikanlah doamu kepada diriku agar aku dapat menahan hati ini untuk tetap padamu. Bukan harta, rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih sayang antara kita dan atas dasar agama inilah aku memilihmu. Aku tidak kisah siapa dirimu sebelum ini, kerana aku mengasihimu sungguh-sungguh kerana Allah, dan inilah jodoh yang terbaik buat diriku nanti yang telah Allah tetapkan. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah umpama delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.


"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.”


Jika aku disatukan dengan dirimu nanti, akan ku jaga perasaan kasih ini sebaiknya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai ikatan hati untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian perasaan. Susah senang akan kita rasai dan lalui bersama, rintangan dan halangan akan kita tempuhi berdua. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan teguh dalam misi mendapatkan dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agama ini. Ya Allah campakkanlah cintaku dalam hatinya untukMU dan campakkanlah juga cintanya dalam hatiku buatMU.


*Jika coretan ini membantu buat para jundi untuk berdepan dengan wali serikandi, maka hadiahkanlah warkah ini sebagai pra"mahar" buat puterinya. InsyaAllah Rabbi Yassir a'laikum...

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI BERTANDANG KE MEDAN DAKWAH ANA YANG DAIF INI, SEMOGA TINTA PENA YANG TERHIDANG DAPAT KITA HAYATI BERSAMA.
salam ukhwah dariku, amirosafwan.