Friday, January 29, 2010

HARI ESOK UNTUK ISLAM (SIRI II)

" Dia yang mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar(agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai"

(At Taubah: 33)

Mukmin sebagai khalifah di muka bumi .

"Dan Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Allah akan mengangkat mereka menjadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah, dan Allah akan menetapkan agama mereka (Islam) yang diredhainya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu juapun. Barang siapa yang kafir sesudah itu, maka mereka itulah orang yang fasik."

(An-Nur: 55)

Pertolongan Allah kepada Mukminin .

"Sehinggalah rasul-rasul itu telah berputus asa, dan mereka menyangka bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak siksa kami daripada orang-orang yang berdosa."

(Yusuf: 110)

Hancurnya perancangan dan tipu daya musuh.

"Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya."

( Al Anfal: 30)

Kemenangan Islam menurut As Sunnah, Tersebarnya Islam di seluruh alam.

Diriwayatkan oleh Tamim Ad Dari, berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya, urusan ini (Islam) akan sampai ke mana sahaja uang sampai oleh malam dan siang. Allah tidak akan meninggalkan sebuah rumahpun daripada penduduk dusun dan kampung melainkan Allah akan memasukkan ke dalamnya agama ini, sama ada memuliakan orang yang mulia ataupun denga menghina orang yang hina, iaitu Allah muliakan dengan Islam dan menghinakan dengan kekufuran.''

(Riwayat Ahmad)

Kekuasaan Islam di Timur dan Barat.

Daripada Thauban daripada Nabi s.a.w bersabda: " Sesungguhnya Allah telah melipatkan bumi bagiku (menghimpunkan dan mengumpulkannya) lalu akau dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke semua tempat bumi yang dilipatkan bagiku.."

(Riwayat Muslim)

Kemenangan Muslimin terhadap Yahudi

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tidak berlaku kiamat sehingga muslimin memerangi Yahudi. Mereka dibunuh oleh muslimin sehingga orang yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Batu dan pokok itu berkata: Wahai muslim, wahai hamba Allah, Ini dia yahudi berada dibelakangku. Kemarilah dan bunuhlah dia. Melainkan pokok gharqad. Sesungguhnya ia adalah daripada pokok Yahudi"

(Riwayat Muslim)

Kembalinya khalifah di atas manhaj Nubuwwah

Daripada Huzaifah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: Berlakunya zaman kenabian di kalangan kamu sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk belaku. Kemudian Allah mengangkatkannya (menghilangkannya) ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabian. Maka berlangsunglah ia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. Kemudian Allah mengangkat ketika mana Dia mengkehendakinya. Kemudian berlakunya pula pemerintahan raja yang 'menggigit' (zalim). Maka berlakula ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah megangkatkannya. Kemudian berlaku pula pemerintahan raja 'paksaan' (kuku besi). Maka berlakulah ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah mengangkatkannya ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabiaan.

Wallahua'lam

Thursday, January 28, 2010

HARI ESOK UNTUK ISLAM (SIRI I)

Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat.

Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya.

Firman Allah Taala:

"Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai"
(at Taubah: 32)

Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.

FAJAR MENYINGSING

Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.

Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

KEKUATAN YANG DIMILIKI OLEH MUSLIMIN

Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama: Kekuatan kuantiti.

Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt:

"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"
(Al A'araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua: Hasil Bumi.

Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani.

Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini. Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Bagaimanakah sikap kita sekarang?

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir. Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini. Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.


Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini.

Wallahu A'alam.


Friday, January 22, 2010

KENALI SYEIKH MUHAMMAD ABDUH

BIODATA

Dalam kegawatan ekonomi ummat Islam sekarang, model atau tokoh yang sering diambil adalah daripada kalangan pihak kuffar dan pihak Barat. Lantaran itu, kita melihat ummat Islam tidak maju ke hadapan secara kamil. Kita seharusnya mengambil orang Islam sebagai role model kita. Syeikh Muhammad Abduh merupakan seorang ulama’ yang disegani dan tokoh yang perlu dicontohi. Beliau telah mengorbankan diri, harta, dan seluruh kehidupannya untuk Islam yang tercinta. Syeikh Muhammad Abduh atau nama sebenarnya ialah MUHAMMAD ABDUH, diambil sempena kasih sayang dan ingatan kepada Rasulullah s.a.w. apabila nama tersebut dilengkapkan dengan nama bapanya. Ini dilakukan bertujuan untuk mendapat keberkatan daripada lafaz yang sering digunakan terhadap baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau dilahirkan pada tahun 1265 Hijrah bersamaan 1849 masihi di kampung yang lebih dikenali dengan sebutan ‘Mahalat Nasr’ yang terletak di daerah Yuhareen, Mesir. Bapa Syeikh Abduh bernama Abduh bin Hussain Khuriullah yang ada kaitan dengan orang Turki. Ibunya pula dinyatakan berketurunan Umar al-Khattab, khalifah kedua dalam sisitem khulafa’ ar-Rasyidin. Syeikh Abduh berasal daripada keluarga yang sederhana dan tinggal di bawah satu bumbung dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.

PENDIDIKAN

Syeikh Abduh juga seperti kanak-kanak lain yang menerima pendidikan formal daripada bapanya sendiri dan seringkali didatangi oleh guru dari luar daerahnya dengan tujuan memberi didikan agama kepadanya. Oleh kerana kepintarannya semula jadinya yang dimiliki oleh Syeikh Abduh, beliau dapat menguasai sekaligus menghafaz al-Quran dalam usia yang tidak mencecah 12 tahun. Selain daripada pendidikan itu, Syeikh Abduh pernah belajar al-Quran di sebuah masjid yang dikenali sebagai “Masjid Ahmadi” yang terletak tidak jauh daripada kampungnya.

Setelah tamat pengajiannya di sini, Syeikh Abduh melanjutkan pengajiannya di sebuah maktab perguruan agama. Setelah tamat pengajiannya di maktab itu , beliau telah memasuki Universiti Al-Azhar. Oleh kerana beliau merasakan sisitem pendidikan yang ada tidak secocok dengannya, beliau telah kembali ke tempat asal dan menjadi seorang petani. Lapangan yang diceburinya ini tidak mendapat restu daripada bapanya kerana bapa Syeikh Abduh mengharapkan agar puteranya berjaya di dalam ilmu pengetahuan. Kemudian Syeikh Abduh telah kembali belajar semula dan tamat kuliahnya pada tahun 1877. Syeikh Abduh berada di institusi pengajian tinggi ini selama 4 tahun. Kemudian, beliau telah bekerja sebagai pensyarah di Universiti Darul Ulum dan Universiti Al-Azhar atas inisiatif Perdana Menteri ketika itu, Radzha Basha.

IDEA

Syeikh Abduh merupakan seorang pengkritik yang sentiasa menimbulkan kontroversi kepada pemerintah. Semasa beliau berkhidmat di universiti tempatan, beliau pernah menyatakan kepada para pelajar bahawa roh kebangsaan yang ada dalam jiwa mereka telah diresapi oleh fahaman asing. Dengan itu, minda mereka telah menjadi beku dan lemah. Pihak Universiti Al-Azahar tidak berasa senang dengan pengaruh Syeikh Abduh terhadap pelajar-pelajar universiti ini, lalu memecatnya daripada jawatan pensyarah di pusat pengajian itu.

Lanjutan daripada itu, Syeikh Abduh telah dibuang daerah ke Beirut, Lebanon dan Perancis. Semasa berada di tempat itu, beliau tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Ketika di Beirut, beliau mengajar ilmu tafsir, tauhid, mantiq, balaghah, Sirah Islam, Fiqah Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Pembuangannya ke Perancis adalah disebabkan beliau dituduh terlibat dalam ketegangan yang berlaku yang dikenali dengan nama ‘Pemberontakan Urubiyyah’. Semasa di Perancis, beliau berkesempatan menemui Syeikh Jamaluddin al-Afghani yang berada di situ. Daripada pertemuan singkat itu, telah membuahkan semangat jihad, yang disampaikan oleh Jamaluddin Al-Afghani dan beliau telah memberi amanat kepada Syeikh Abduh iaitu menyuburkan semangat berbakti kepada masyrakat dengan menyemarakkan lagi semangat jihad ke dalam jiwa mereka bagi membanteras fahaman kolot yang bersarang di dalam jiwa masyarakat dan berfikir untuk maju ke hadapan. Semasa di sinilah, kedua-dua tokoh ini telah bergabung tenaga untuk menerbitkan majalah yang diberi nama ‘al-Uruwatil Wuthqa’.


PULANG KE TANAHAIR

Oleh kerana ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Abduh adalah suatu kebenaran, maka pihak pemerintah Mesir telah memanggilnya pulang semula ke Mesir untuk berkhidmat dengan kerajaan. Beliau telah diberi tawaran untuk memegang jawatan kadi iaitu jawatan yang tinggi pada masa itu. Dengan jawatan itu, Syeikh Abduh diharapkan sekadar menjawab jawapan permasalahan yang dihadapi oleh pemerintah semata-mata, tetapi Syeikh Abduh bersikap lebih luas iaitu berkhidmat untuk rakyat jelata. Jawatan ini telah disandang oleh beliau sehingga akhir hayatnya.

Semasa beliau melawat kota London untuk memberi ceramah yang dihadiri oleh masyarakat Inggeris, Syeikh Abduh telah menyatakan bahawa orang Inggeris sepatutnya meninggalkan Mesir kerana masyarakat Mesir amat benci kepada golongan tersebut. Menurut beliau lagi, orang Islam tidak dibenarkan memberi wala’ (taat setia) kepada selain orang Islam sendiri.

Selain daripada keberanian Syeikh Abduh menyampaikan ceramah dengan mengkritik terhadap sebuah masyarakat walaupun mereka ada di hadapannya, beliau juga dikenali sebagai seorang yang sering mengutarakan idea kontroversi bagi membela masyarakat Islam daripada segala penghinaan dan serangan.

SUMBANGAN

Dalam masa hayatnya Syeikh Abduh merupakan seorang mujaddid yang sering memberikan saham yang bernilai kepada masyarakat Islam sama ada semasa berada di tanahair atau sewaktu beliau dibuang ke luar negeri. Semasa berada di Syria umpamanya, beliau berkhidmat sebagai pengajar di Maktab Perguruan Tinggi Sultaniah lebih kurang setahun. Sumbangannya yang lain ialah beliau pernah menerbitkan majalah al-Ahram dan diberi amanah untuk mengendalikan sebuah majalah yang dikenali dengan sebutan ‘al-Waqiq al-Mesri’.

Syeikh Abduh juga dikatakan telah mengarang beberapa buah buku yang terkenal. Bukunya yang bertajuk Risalah at-Tauhid telah dijadikan sebagai buku teks di institusi pengajian tinggi Mesir serta bahan rujukan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing untuk disebarluaskan ke persada masyarakat antarabangsa.

Kehebatan Syeikh Abduh menghadapi sakit sewaktu perjalanannya ke Sudan, namun beliau merahsiakan daripada pengetahuan sahabatnya. Tetapi penderitaan yang dialami Syeikh Abduh akhirnya diketahui oleh sahabatnya. Doktor mengesahkan bahawa penderitaan yang dialami adalah penyakit barah yang telah menjadi kronik. Dengan itu, Syeikh Abduh bercadang untuk merawat penyakitnya di Eropah . Niat tersebut tidak direstui oleh teman-teman Syeikh Abduh lalu doktor menasihatkannya agar membatalkan niatnya.

Pada 11 Julai 1905 Masehi, Syeikh Abduh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah sahabatnya, Muhammad Bek Raban di Ramel Iskandariah, Mesir. Kematian Syeikh Abduh bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Mesir tempatan, bahkan dirasai oleh komuniti antarabangsa dengan menerima pelbagai sanjungan daripada penulis-penulis yang terkenal sezaman dengannya.

Syeikh Abduh telah meninggalkan satu amanat yang penting di dalam buku karangannya ‘Risalah at-Tauhid'. Amanatnya cukup menarik untuk kita jadikan titik renungan bersama iaitu, “Manusia yang hidup menurut aqidahnya, maka luruslah perjalanan hidupnya”. Lantaran itu, kita perlu mengambil iktibar daripada perjalanan hidup Syeikh Abduh yang telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi untuk mengembalikan sinar kegemilangan yang kian sirna. Sifat-sifat yang dimiliki oleh beliau wajar kita asimilasikan dalam hati agar kita dapat terus mempertahankan Islam dalam alaf yang akan datang dan untuk selama-lamanya, insya Allah.

Thursday, January 21, 2010

PLKN vs MUSLIMAH

Kisah ini saya titipkan buat muslimin dan muslimat yang sudi mendengar luahan dari kisah saya ini.. Saya bukanlah hendak menuding jari kepada sesiapa, dan tidak terlintas walau sedetik dihati saya ingin menyakitkan hati sesiapa. Saya Cuma ingin berkongsi pendapat dan pengalaman tentang cerita yang bakal saya persembahkan di dalam artikel ini.

Saya merupakan kelahiran bumi maahad yang sentiasa ditarbiahkan dengan cara-cara hidup islam yang syumul. Di sini saya bukan hendak menyanjungi diri, cuma hendak memudahkan kalian memahami kisah ini. Saya merupakan seorang yang agak pendiam tetapi tegas dan bijak dalam berhujah tentang agama. Sahabat mahupun adik-adik, sering bertanyakan pendapat daripada saya mengenai agama.

Di madrasah, saya juga dikenali sebagai muslimah yang anti terhadap sosial. Saya tidak suka akan pergaulan bebas yang tiada tujuan bahkan hanya sekadar mengikuti perkembangan zaman. Saya telah dikejutkan dengan berita yang sememangnya tidak dapat diterima oleh akal saya sendiri. “saya terpilih untuk mengikuti program latihan khidmat negara?” berderau darah saya apabila mengetahui akan berita tersebut.

Saya malu untuk memberitahu kepada sahabat dan ustaz ustazah tentang pemilihan ini. Tanpa saya sedar, ustaz telah mengetahui juga. Ustaz hanya mampu memberikan nasihat dan kata-kata semangat buat bekalan saya di sana.

Selepas saya menduduki SPM, saya cuba untuk mencari alasan supaya mendapat pengecualian daripada menjalani PLKN. Sahabat saya telah menasihatkan saya supaya meneruskan pengajian dalam mengambil STAM sahaja. Niat di hati, saya tidak mahu mengambil STAM, kerana saya mahu menyambung pengajian dalam aliran sains. Saya hanya mampu berserah ke hadrat ilahi dan hanya mampu berdoa.

Tiba hari yang tidak pernah saya nantikan, iaitu hari pendaftaran ke PLKN. Saya membuat persediaan ala kadar dan mengisi borang yang disediakan. Saya diiringi oleh keluarga menuju ke pusat berkumpulnya peserta PLKN. Saya melihat air mata umi dan kakak menitis. Saya pasti mereka risau dengan diri saya.


Berkali-kali saya mengingatkan kepada mereka bahawa saya mampu menjaga diri sendiri, dan berjanji dengan mereka, saya tidak akan sekali mengubah penampilan dan cara hidup saya. Saya yakin dengan janji Allah, bahawa Dia sering melindungi hambaNya yang bertaqwa.

Pertama kalinya Saya menjejakkan kaki ke PLKN, saya berasa diri amat asing di situ. Saya melihat pakaian dan cara pergaulan mereka amat berbeza di madrasah. Saya sedar diri ini diperhatikan, bukan kerana paras rupa, tetapi pemakaian saya. Berbaju kurung dan bertudung labuh. Kebetulan pada masa itu saya tidak menyarung jubah, kalau tidak, pasti bertambah pelik mereka memandang saya.

Selepas pendaftaran, saya dibawa ke bilik dan diberikan pakaian yang telah diisukan oleh PLKN. Penghuni di bilik saya datangnya dari beberapa buah negeri. Mulanya mereka kelihatan seperti pendiam, dan tidak berani berbicara antara satu sama lain. Tetapi apabil mengenali anatara satu sama lain, kami lebih aqrab rupanya.

Saya mengalami kejutan budaya, apabila menyedari saya bakal bercampur dengan masyarakat yang terdiri daripada cina, India, dan melayu. Tambahan pula, saya melihat pergaulan antara perempuan dan lelaki tiada pula batasan.

Buat pertama kalinya, semua peserta PLKN perlu memakai pakaiain t-shirt yg telah diberikan. Bagi muslimah pula, diwajibkan untuk memakai tudung, tetapi perlu dimasukkan ke dalam baju. Sejenak saya terfikir, bagaimanalah rupa saya memakai pakaian seperti itu, sedangkan memakai tudung segi tiga pun saya tidak pernah. Saya bergegas pulang ke bilik dan menangis sepuas-puasnya. Adakah ini ujian bagi saya? Allah mesti mahu menduga iman saya.

Apabila sahabat ana sedang enak dibuai mimpi, saya pula bangun bermunajat kepadaNya. Malam itu juga saya meminta petunjuk dariNya supaya memberikan ketabahan kepada diri ini untuk menjalani hidup di bawah pemeliharaanNya. Saya menjalani aktiviti seperti biasa. Sememangnya di PLKN, lelaki dan perempuan diasingkan. Tetapi hanya pembelajaran di dalam kelas CB sahaja tidak diasingkan.

CB ialah character building yang bermatlamat untuk mengajar peserta membina keyakinan dalam bergaul sesama masyarakat. Saya berasa agak gugup dan kaku berada di dalam kelas tersebut buat pertama kalinya. Saya akan bersuara jika aktiviti yang dilakukan benar-benar menyalahi hukum agama dan saya akan melibatkan diri jika aktiviti itu benar-banar meyakinkan saya bahawa ia membawa kepada kebaikan.

Saya bernasib baik mendapat fesi yang amat memahami. Terima kasih kepada fesi yang membenarkan saya untuk menjaga batasan ini. Jika berada di dewan, saya tetap mengekalkan identiti sebagai remaja islam. Saya menyedari, di dalam dewan itu tiada yang memakai baju kurung mahu pun bertudung labuh. Saya tetap dengan pendirian saya mengekalkan identiti ini.

Saya pernah mendengar sahabat-sahabat mempertikaikan tentang tudung saya. mereka mencadangkan saya memakai tudung lain. Saya pernah menyatakan kepada sahabat bahawa pendirian saya, “walaupun di madrasah semuanya terdiri daripada kaum hawa, saya tetap memakai tudung labuh, inikan pula di PLKN yang terdiri daripada jantina yang berbeza, rasanya pasti susah.”

Apabila saya masuk ke dalam bilik, saya mendengar sahabat saya menyatakan pendapatnya. Dia mengatakan bahawa tudung yang saya pakai besarnya sama dengan selimut. Daripada ungkapan itu, saya berasa seolah-olah sudah berputus asa dalam memperjuangkan hak islam. Tetapi Allah lebih mendahului perasaan saya, Allah cuba untuk menyedarkan saya supaya mengenangkan kembali apa yang telah dipelajari di madrasah dahulu.

Saya terkenang kepada ustaz yang setiap hari mengajar saya erti islam. Saya terkenang akan pengorbanan ustazah yang berusaha untuk menjadikan saya sebagai muslimah yang sejati. Saya juga terkenangkan di mana sebenarnya saya dilahirkan. Jadi, saya tidak mahu menyerah kalah dengan hanya mendengar omongan dan umpatan sahabat-sahabat.

Sahabatku yang disayangi, kalian merupakan pembawa agama, jangan kalian semua mudah menyerah kalah dengan perkara yang kecil seperti ini. Sedangkan perjuangan Sumaiyah untuk mempertahankan agamanya lebih berat daripada kita yang hanya perlu mempertahankan identiti agama.

Bukannya islam melarang kita bersosial, tetapi sosial mengikut tempat dan tujuan. Sememangnya Islam tidak mewajibkan kita memakai tudung labuh, tetapi apabila memakai tudung labuh saya berasa lebih terjaga dan selamat jika berpakaian seperti itu. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Hal ini kerana, sepanjang kehidupan saya di sana, saya tidak pernah ditegur mahupun dipanggil oleh sesiapa yang bergelar lelaki. Mereka tidak berani menegur bahkan mereka menghormati prinsip yang cuba saya bawakan.

Percayalah pemakaian sopan, beradab dan menutup aurat akan membawa kepada kebaikan diri, keselamatan dan juga penampilan imej yang baik dan akan mengundang bukan sahaja keredhaan tuhan tetapi juga keredhaan seluruh makhluk termasuk manusia yang melihat. Islam itu perlu dipelajari dan perlu diamalkan.

PLKN juga menitikberatkan tentang keagamaan. Antaranya ialah akhlak, solat, ibadah khusus, ibadah sunnah dan lain-lain. Kebanyakan peserta-pesrerta terdiri daripada golongan yang kurang menerima didikan agama. Saya cuba untuk membantu mereka dengan mengajar serba sedikit apa yang telah saya pelajari di madrasah dan memberikan sedikit nasihat. Ada yang hendak menerimanya, dan ada yang sekadar mengambil ringan sahaja.

Hakikatnya, manusia memang sukar untuk menerima perubahan diri ke arah kebaikan. Mereka akan menyedarinya apabila ditimpa kesusahan dan kemalangan sahaja. Benarlah apa yang berlaku pada zaman sekarang, bahawa manusia mudah leka dengan dunia dan lupa pada akhirat. Kebudayaan kaum di Malaysia juga diterapkan kepada peserta di dalam PLKN ini.

Saya tidak berani untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti kebudayaan. Pergaulan terlalu bebas. Saya takut, saya takut dengan Allah. Saya takut ada yang memandang selainNya. Saya bukan hendak mengasingkan diri daripada dunia sebenar, tetapi inilah hakikat yang perlu saya hindarkan.

Memang benar Malaysia mementingkan perpaduan, tetapi perlukah sampai mengorbankan agama? Menari, menyanyi, dan juga bergurau senda bukan pada tempatnya. Bukankah ada cara lain yang lebih berhikmah selain itu? seperti tayangan kebudayaan atau permainan kuiz. Adakah itu namanya maruah umat islam? Kerajaan juga perlu pandai memilih peserta yang mengikuti program ini.

Bukankah lelaki lebih harus diutamakan untuk berbakti pada Negara? Ramai lagi remaja lelaki yang ingin berbakti kepada Negara dan mereka yang lebih layak dan sesuai berbanding saya yang lemah ini. Sememangnya di sini kita boleh menghindari daripada terjebak daripada gejala sosial. Caranya ialah kita perlu menyibukkan diri kita dengan pencipta. Banyakkan berzikir, solat sunat, dan membaca buku.

Pada waktu malam, saya melihat sahabat-sahabat ana sibuk ber ‘sms’. Di tempat baru, mesti ada yang hendak dikenali, dan hendak pula dikenalkan. Begitulah perumpamaannya. Memang Islam mengajar taaruf tetapi, yang ada sempadannya. Taaruf yang terpelihara dan terjaga daripada kemaksiatan dan bukan taaruf mealui bercinta.

Tetapi saya cuba menangkis segala godaan itu dengan membaca buku-buku yang di bawa daripada rumah. Setiap waktu solat, saya tidak pernah meninggalkan al-quran, walaupun masa tidak mencukupi saya tetap melakukannya. Begitulah caranya kalau kita tidak mahu diduga oleh permainan dunia yang amat mencabar ini.

Saya pulang tetap dengan diri saya yang dahulu. Tetapi, saya berubah dari segi penambahan rohaniah dan pemantapan sahsiah. ilmu yang memberi manfaat saya cuba gunakan dalam kehidupan seharian.Sewajarnya kita ambil apa yang baik dan tinggalkan apa yang buruk. Kita hanya mampu berserah dan apa yang boleh kita lakukan adalah bertindak setakat mana yang mampu.

Wahai remaja islam, kalianlah pencorak generasi gemilang. Jadikan islam panji kebenaranmu. Jangan biar imanmu dipengaruhi dunia semata-mata. Tetaplah dengan pendirianmu jika kau berada dilandasan yang benar. Yakinlah dengan janji Allah, bahawa Dia akan sentiasa memeliharamu dan melindungimu jika kamu benar-benar bertaqwa kepadaNya.

(Kisah dari: MUJAHIDAH ul HANIS al HAFIZAH)


TERIMA KASIH KERANA SUDI BERTANDANG KE MEDAN DAKWAH ANA YANG DAIF INI, SEMOGA TINTA PENA YANG TERHIDANG DAPAT KITA HAYATI BERSAMA.
salam ukhwah dariku, amirosafwan.