Friday, May 21, 2010

KONSEP DAKWAH DAN AL-MUJADALAH (siri 2)

Jenis al-mujadalah dalam dakwah

Maksudnya:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah (berdebat) mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”.

al-Nahl (16):125

Pernambahan perkataan al-lati hiya ahsan atau yang paling baik dalam ayat Allah Ta’ala diatas, adalah untuk membezakan di antara al-mujadalah al-hasanah (perdebatan yang baik) dengan al-mujadalah al-batilah
(perdebatan yang salah).


Al-mujadalah al-hasanah ialah perdebatan yang digunakan oleh pendakwah untuk menjelaskan kepada sasaran tentang prinsip-prinsip dan kesimpulan yang logik, sehingga sasaran itu dapat merenungkannya semula perdebatan tersebut dan kemungkinan dia akan tunduk kepada kebenaran setelah mengetahui hakikat sebenarnya sesuatu perkara itu.

Al-mujadalah al-batilah pula ialah cara menghujahkan mesej dakwah kepada sasaran yang secara terang-terangan menentang mesej tersebut serta menghalang perkembangan mesej dakwah. Mujadalah ini hanya sesuai digunakan untuk menangani mad’u yang menentang tanpa ada alasan yang kukuh dan logik, menyulitkan permasalahan dengan perkara-perkata yang tiada hubungkait dengannya, menghabiskan masa dengan membincangkan perkara yang remeh, tidak mendengar hujah lawan, menghalang orang lain daripada mendengarnya, tidak mahu menyelidik dan tidak seumpama dengannya.

Firman Allah Ta’ala dalam penggunaan perdebatan sebagai satu pendekatan dakwah:

Maksudnya:

“Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan Katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepadaNya berserah diri”.

al-Ankabut (29):46

Syarat al-mujadalah dalam dakwah

1. Mereka yang terlibat dalam perdebatan mestilah terdiri daripada orang-orang berilmu pengetahuan termasuklah pendakwah dan mad’u itu sendiri. Ini penting bagi mengindari perdebatan yang tidak jelas dan tiada penghujungnya.

2. Isu perdebatan mestilah terdiri daripada persoalan agama dan perkara yang berkaitan dengannya serta tidak lari daripada garis panduan yang telah ditetapkan dalam berdakwah.

3. Perdebatan yang berlaku di antara pendakwah dengan orang Islam mestilah tidak sama dengan perdebatan yang berlaku diantara pendakwah dengan orang bukan Islam. Debat dengan orang Islam berbeza dari segi penyampaiannya dan lebih dalam perbincangannya dalam soal agama Islam.


Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa kunci utama dalam sesuatu perdebatan yang sempurna perlu didasarkan pada ilmu dan disampaikan dengan penuh bijaksana. Namun ianya hendaklah dilakukan tanpa melahirkan pertelingkahan atau pertengkaran juga tanpa menghina dan merendahkan orang yang membantah.


Pandangan Ulama’ dan pakar tentang konsep al-mujadalah.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin telah membincangkan dengan panjang lebar mengenai perdebatan dan bahayanya. Beliau telah menghuraikan beberapa syarat bagi menjelaskan tentang perdebatan yang diredhai oleh Allah Ta’ala. Di antaranya ialah, perdebatan hendaklah berfaedah untuk mencari kebenaran dalam kesan-kesan negatif yang timbul dari perdebatan yang bertujuan untuk mencari kemenangan.

Perdebatan yang sedemikian antara lain boleh menghilangkan kasih sayang dan memutuskan hubungan silaturrahim dikalangan orang Islam dan bukan Islam serta yang terlibat dengannya.

Kebanyakkan pakar dalam bidang hubungan kemanusiaan (human relation) pula melihat perdebatan tidak berkesan dalam komunikasi pembujukan. Satu-satunya cara untuk mendapat hasil yang paling baik daripada perdebatan adalah dengan cara mengelakkannya.

Giblin pula tidak memandang perdebatan sebagai suatu yang tidak berfaedah langsung. Malahan nilai sesuatu perdebatan itu adalah bergantung kepada motif dan cara perdebatan itu dijalankan. Beliau menyatakan bahawa


“sekiranya kamu terpaksa berdebat dengan seseorang maka matlamat kamu bukanlah untuk memenangi perdebatan tersebut tetapi untuk menolong orang itu mengubah pendapatnya dan bersetuju dengan pendapat kamu. Oleh itu kamu hendaklah berusaha untuk tidak menyentuh keegoannya. Serapkan hujah-hujah kamu tanpa bertembung dengan egonya. Kemudian berikanlah dia peluang untuk mengubah pendapatnya tanpa merasa air mukanya dijatuhkan dan kehormatan dirinya direndah-rendahkan.”


Perkara berikut dapat membantu mencapai kejayaan dalam mujadalah:

1. Biarkan ‘lawan’ kamu menjelaskan pendapatnya terlebih dahulu.

2. Berhenti sebelum kamu menjawab bantahannya.

3. Jangan cuba untuk memenangi perdebatan 100%.

4. Nyatakan hujah kamu dengan nyata dan jelas.

5. Adakan orang ketiga yang akan bercakap bagi pihak kamu.

6. Berikan ruang kepada pihak lawan untuk menjaga maruah dan air mukanya.

7. Elakkan penggunaan bahasa yang merendahkan, tindakan yang kasar dan tidak menghormati pemikiran lawan.

8. Hendaklah lebih banyak mencari titik persamaan antara kedua-dua belah pihak. Kurangkan usaha mencari titik perbezaan ataupun abaikan langsung. Lebih banyak persamaan yang ditemui maka lebih banyak hasil yang diperoleh.


Ketika berhadapan dengan mad’u yang suka berdebat, Islahi menasihatkan pendakwah supaya jangan menjalankan pendakwahan secara berdebat. Sekiranya mad’u itu memulakan perdebatan maka pendakwah hendaklah terlebih dahulu berusaha mempertahankan diri apabila melihat mad’u itu cenderung kepada menyerang dan mengkritik. Setelah mesej dakwah disampaikan dan mad’u mengkritik dengan keras dan tegas maka pendakwah hendaklah mengakhiri perdebatan itu dengan memaafkan dan meninggalkannya. Pendakwah mestilah memilih waktu yang sesuai untuk mengulangi pendakwahan tersebut setelah suasana kembali tenang.

Kesesuaian perdebatan sebagai salah satu pendekatan dakwah adalah bergantung kepada sikap sasaran terhadap dakwah dan pendakwah. Sekiranya sasaran itu mempunyai sikap terbuka terhadap dakwah dan menghormati pendakwah, mungkin dengan cara perdebatan dapat mengetuk pintu hati sasaran tersebut untuk menerima mesej dakwah yang di sampaikan. Sebaliknya sekiranya sasaran menunjukkan sikap menentang maka perdebatan bukanlah cara yang berkesan dan selamat bagi penyampaian mesej dakwah sekalipun pendakwah yang memenangi perdebatan tersebut.

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya:

”Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan dan Allah tidak menyukai kebinasaan”.

al-Baqarah (2):204-205

Dari keterangan di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa perdebatan bukanlah satu pendekatan dakwah yang baik. Ianya hanya sesuai digunakan dengan hati-hati dan penuh dengan kebijaksaan. Perdebatan tidak sesuai kepada orang Islam kerana secara tidak langsung ianya akan memecahbelahkan masyarakat sebaliknya sesuai untuk golongan bukan Islam yang intelek dan professional. Oleh yang demikian, Allah Ta’ala telah meletakkan yang lebih baik sebagai syarat perdebatan yang diharuskan.


No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI BERTANDANG KE MEDAN DAKWAH ANA YANG DAIF INI, SEMOGA TINTA PENA YANG TERHIDANG DAPAT KITA HAYATI BERSAMA.
salam ukhwah dariku, amirosafwan.