Friday, April 16, 2010

KONSEP DAKWAH DAN AL-MUJADALAH (siri 1)

Definisi Dakwah
Menurut al-Bustaniy, perkataan dakwah adalah perkataan Arab yang pada asalnya bererti seruan, panggilan, jemputan atau undangan. Manakala dari segi istilah pula, para ulama’ telah mengemukakan beberapa definisi.

Menurut Ghalwasy, perkataan dakwah mempunyai dua pengertian, iaitu agama Islam dan kegiatan menyebarkan agama Islam. Sheikh Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan pula menyatakan bahawa dakwah ialah panggilan atau seruan ke jalan Allah Ta’ala, iaitu agama Islam, agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Manakala menurut Al-Ansari, dakwah ialah usaha membentuk perbuatan atau percakapan untuk menarik manusia kepada kebaikan dan mendapat petunjuk Allah Ta’ala dalam kehidupan mereka.

Oleh yang demikian dapat disimpulkan bahawa, dakwah ialah seruan untuk melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan ke arah mendapat petunjuk Allah Ta’ala dalam kehidupan seharian.


Definisi Pendakwah
Dakwah adalah tugas utama para rasul dan mereka ini diutuskan oleh Allah Ta’ala untuk menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh alam.

Sebagaimana Firman Allah Ta’ala Maksudnya:

“Hai nabi, sesungguhnya kami mengutusmu untuk menjadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan untuk menjadi penyeru kepada agama Allah dengan izinNya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi”.
al-Ahzab (33):45-46

Selepas Rasulullah s.a.w wafat, umat Islam telah diperintahkan oleh Allah Ta’ala supaya meneruskan tugas baginda yang murni itu agar ajaran Islam dapat berkembang keseluruh alam dengan lebih sempurna.

Maka dapat disimpulkan bahawa, pendakwah ialah orang yang menyeru manusia ke jalan Allah Ta’ala dengan menyuruh manusia melakukan perkara-perkara yang ma’ruf dan menjauhi perkara-perkara yang mungkar.

Firman Allah Ta’ala Maksudnya:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.
Ali-Imran (3):110

Definisi Mad’u
Mad’u bermaksud orang yang didakwahkan atau golongan sasaran yang menerima mesej dakwah. Lazimnya orang yang didakwahkan ialah seluruh umat manusia, sesuai dengan risalah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagai agama Islam yang bersifat universal dan menyeluruh.


Firman Allah Ta’ala Maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah pula kamu menurut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”.
al-Baqarah (2):208

Manhaj Dakwah
Dalam al-Quran, Allah Ta’ala telah menggariskan tiga manhaj atau pendekatan penting yang perlu digunakan dalam menyampaikan mesej dakwah. Para pendakwah perlu menggunakannya dalam menyampaikan dakwah mereka kepada golongan sasaran. Secara tidak langsung pendekatan ini akan membantu proses dakwah supaya dapat dilakukan dengan sempurna.

Tiga pendekatan itu ialah al-hikmah (kebijaksanaan), al-mau’izah al-hasanah (nasihat yang baik) dan al-mujadalah bi al-lati hiya ahsan (perdebatan dengan cara yang lebih baik).

Firman Allah Ta’ala Maksudnya:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”
al-Nahl (16):125

Adapun demikian, penulis lebih tertarik untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang konsep al-mujadalah dalam menyebarkan dakwah. Ini kerana, pendekatan al-mujadalah ini bukanlah sesuai digunakan untuk berdakwah kepada semua golongan tetapi hanya sesuai dan berkesan kepada golongan tertentu sahaja.

Definisi al-Mujadalah

al-Mujadalah berasal dari perkataan jadal yang bermaksud berdebat, berselisih dan berbalah. Tetapi mujadalah dalam konteks dakwah pula bermaksud diskusi atau bertukar-tukar fikiran dan pendapat. Perkara ini perlu dilakukan dengan baik, samaada untuk bermujadalah dengan orang Islam atau dengan bukan Islam. Perkara ini hendaklah diberi perhatian yang serius dalam metod dakwah kerana sebagaimana yang diketahui, ketika pendakwah menyampaikan ceramah atau huraian terhadap sesuatu masalah, mad’u akan mengajukan beberapa pertanyaan tetapi jarang pula mereka mengemukakan bantahan terhadap apa yang dihuraikan oleh pendakwah kepada sasarannya.

Pendakwah mestilah terlebih dahulu menilai orang yang mengemukakan bantahan itu supaya bantahan tersebut dapat dijawab dan ditangkis dengan bijak. Jawapan yang pendakwah berikan itu bukanlah semestinya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah tetapi terlebih dahulu hendaklah menggunakan kaedah logik akal atau kaedah mantiq supaya dapat menyentuh akal mereka sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan. Ini kerana, ada sesetengah manusia berdebat tentang Allah Ta’ala tetapi pada masa yang sama tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentangnya.

Sebagaimana firman Allah Ta’alaMaksudnya:

“Di antara manusia ada orang yang membantah (berdebat) tentang Allah Ta’ala tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat.”
al-Hajj (22):3

Agama Islam adalah agama akal dan tiada agama bagi orang yang tidak berakal. Penulis menyatakan demikian kerana agama Islam ini tidak akan singgah pada jiwa manusia yang belum mampu menggunakan akalnya atau orang-orang yang tidak sempurna akalnya.

Penulis menyatakan demikian disebabkan oleh tiada guna dan maknanya pendakwah menyampaikan hadith, dalil-dalil al-Quran ataupun kata-kata ulama’ kepada golongan manusia atau mad’u yang bersikap sebegini. Belum sampai masanya pendakwah melakukan sedemikian walaupun mad’u tersebut terdiri daripada orang Islam kerana bukanlah semua orang Islam itu mempunyai ilmu yang mencukupi dalam soal agama mereka.

Untuk menentukan cara menjawab atau menangkis bantahan ini, pendakwah hendaklah terlebih dahulu mengetahui serba sedikit mengenai pemikiran mad’u yang bertanya persoalan tersebut, kemudian menilai pula cara mereka mengemukakan pertanyaan atau bantahan itu dan perhatikan pula nada atau irama suaranya.

Sesuai dengan fungsi dan pengertian dakwah itu sendiri iaitu panggilan, seruan atau ajakan agar manusia kembali kepada jalan Allah Ta’ala dengan kerelaan hati. Perintah mujadalah ini digariskan oleh Allah Ta’ala dalam al-Quran kerana manusia itu sendiri pada dasarnya menyukai mujadalah atau perdebatan sesama mereka.

Firman Allah Ta’ala Maksudnya:

“Dan Sesungguhnya kami telah mengulang-ulangi bagi manusia dalam al- Quran ini bermacam-macam perumpamaan. Dan manusia adalah makhluk yang paling banyak membantah (berdebat)”.
al-Kahfi (18):54

Konsep al-mujadalah yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada kaum muslimin adalah jadal yang baik. Jadal yang baik adalah jadal yang tidak mengandungi unsur penganiayaan terhadap pendapat seseorang yang diutarakannya serta tidak merendahkannya. Hal ini amat penting kerana jiwa manusia mempunyai kebesaran dan keangkuhan masing-masing. Seseorang itu tidak akan melepaskan pendapatnya begitu sahaja, kecuali kritikan terhadap pendapat itu dilakukan secara halus sehingga dia tidak merasakan pendapatnya dipinggirkan.

Untuk itu, pendakwah hendaklah sentiasa menjaga kebesaran dan jiwa mad’u itu sehingga lawan debat merasa dirinya dilindungi dan kehormatannya dijaga serta dijunjung tinggi. Sejak dari mula, pendakwah harus menyedari bahawa tujuan berdebat bukanlah untuk mencari kemenangan tetapi memberi kepuasan kepada lawan debat sehingga mencapai kebenaran yang dicari. Dalam perdebatan tersebut, pendakwah harus mengungkapkan kebenaran dan menjadikan kebenaran itu sebagai petunjuk untuk menuju ke jalan Allah, bukan di jalannya sendiri serta mengalahkan pemikiran orang lain. Jadi dapat disimpulkan bahawa sasaran utama konsep mujadalah adalah untuk mengungkapkan kebenaran.

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI BERTANDANG KE MEDAN DAKWAH ANA YANG DAIF INI, SEMOGA TINTA PENA YANG TERHIDANG DAPAT KITA HAYATI BERSAMA.
salam ukhwah dariku, amirosafwan.