Thursday, December 17, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt.
Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah swt.
Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt.
Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.
Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.
Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha’ dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya.

Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya. Andai dunia dan seisinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati si hamba itu.

Ya Allah, apa yang telah ku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Kau tegah dari melakukannya sedangkan aku belum bertaubat daripadanya, sedangkan Engkau tidak redha ke atasku, aku mohon rahmatmu ya Tuhan, ampunkanlah dosa-dosa hambamu yang lemah dan hina ini.

Buat ayahanda dan bonda tercinta, salam kemaafan anakanda pohonkan dari kejauhan, doakan kejayaan dan keberkatan anakanda di sini, segala pengorbananmu hanya Allah sahajalah yang mampu membalasnya. Buat adik-adikku yang tersayang, belajarlah rajin-rajin dan sungguh-sungguh, sesungguhnya untuk membina kejayaan ini amat pahit mulanya, tetapi kejayaan yang bakal dikecapi nanti amat cukup kemanisannya. Buat sahabat-sahabat seperjuangan di undun mahupun di tanah air, marilah sama-sama kita menimba dan menggali ilmu Tuhan ini sebanyak yang mungkin, beramal dengannya dan seterusnya memanfaatkannya ke arah kebaikan demi kemaslahatan bersama.

Semoga kesempatan tahun baru hijriah 1431 yang berpeluang kita sambut bersama ini, sama-samalah kita renung kembali ke dalam diri, di sana pasti ada sejadah iman yang kian terkoyak, yang perlu dijahit kembali agar mehnah yang bakal bertandang nanti mampu kita tempuhinya. wassalam.

No comments:

Post a Comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI BERTANDANG KE MEDAN DAKWAH ANA YANG DAIF INI, SEMOGA TINTA PENA YANG TERHIDANG DAPAT KITA HAYATI BERSAMA.
salam ukhwah dariku, amirosafwan.