Sunday, March 27, 2011

RIJAL SOLEH

Firman Allah Taala:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal antara satu sama lain, Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa, Sesungguhnya Allah maha mengetahui.” – surah al Hujuraat (49:13)


Andainya sikit daripada cinta seorang wanita itu hendak diberi pada seseorang yang akan digelar suami, maka pilihlah seorang lelaki yang :

1-Kuat agamanya.

Biarlah sesibuk mana pun, solat fardu tetap terpelihara dan terjaga. Utamakanlah pemuda yang kuat pengamalan agamanya. Lihat sajalah bagaimana Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi yang ada pada diri Saidina Ali biarpun dia pemuda paling miskin dari harta akan tetapi kaya rohaninya.

2-Baik akhlaknya.

Ketegasannya nyata akan tapi dia berlembut dan bertolak-ansur pada hakikatnya. Sopan tutur katanya menggambarkan gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua amat ketara. Bakal meraikan si isteri apabila berkahwin nanti.

3-Tegas mempertahankan maruah.

Pernahkah dia menjengah ke tempat2 yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.

4-Amanah

Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

5-Tidak boros

Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

6-Tidak liar matanya

Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

7-Terbatas pergaulannya

Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, tapi dia tak amalkan cara hidup bebas.

8-Rakan pergaulannya.

Mereka yang menjadi rakan pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.

9-Bertanggungjawab

Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya terhadap orangtuanya dan juga keluarganya. Dia tidak sesekali mengabaikan dan membelakangi orangtuanya dalam menentukan sesuatu keputusan yang besar buat dirinya seperti apabila dia menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada mereka.

10-Tenang wajahnya

Apa yang tersimpan dalam sanubarinya kadang-kadang terpancar melalui air mukanya. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.

Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya. Akan tetapi Allah tidak menyuruh kamu untuk memandang serong kepada orang lain. Seperti orang yang bukan dalam aliran agama, kurang penghayatannya terhadap Islam dan lain-lain. Mereka juga perlukan bimbingan, tetapi bukan dari seorang wanita, kerana tugas itu bukan khas untuk kamu. Kamu adalah pembantunya dalam menyempurnakan rumahtangga. Kalaulah mereka berusaha untuk berubah kerana Allah, maka Allah akan anugerahkan pasangan yang sekufu untukknya, akan tetapi jika dia berubah keranamu wahai wanita, maka kamu akan dapati sifatnya yang sebenar seusai kamu berkahwin dengannya nanti. Jika lebih baik, Alhamdulillah beruntunglah kamu dan jika sebaliknya, maka sudah terlambat untuk kamu berpatah kembali. Di waktu itu tiada lagi penyesalan melainkan keperitan yang tidak akan berkesudahan.

Wahai wanita, jika kamu mempunyai calon untuk dijadikan suami, maka khabarkanlah kepada orang tua mu. Apabila ada calon yang lebih baik untuk kamu dari keluarga dan orang tuamu, maka hendaklah kamu mendahulukan pilihan keluarga, kerana itulah yang lebih baik bagi kamu, melainkan apabila calon itu kamu ragui sifat perwatakannya dan calon kamu adalah lebih baik dalam soal agamanya, maka berbincanglah dengan keluargamu. Insha Allah, Allah akan permudahkan jalan bagi kamu untuk bersamanya nanti.

Pemilihan seorang suami untuk seorang wanita adalah bukan satu benda yang mudah. Maka oleh sebab itulah Islam telah menggariskan panduan yang terbaik dalam memilihnya agar kamu tidak kecewa di kemudian hari. Suami yang baik dan soleh bukan hanya akan memimpin kamu, akan tetapi bakal memimpin anak-anakmu nanti sebagai penyambung zuriat generasi Islam yang lebih berkualiti. Letakkanlah cintamu sungguh-sungguh pada Allah jika kamu benar-benar inginkan pemuda sebegini, kerana dia pun sedang menunggumu untuk bersama menempuhi mehnah dunia dan kamu akan kuat, teguh bersamanya nanti. Berfikirlah, fahamilah maka bertindaklah wahai wanita sebelum segalanya terlambat atau kamu akan kehilangan pemuda sepertinya.

Wednesday, March 9, 2011

HADIAH BUAT BAKAL ISTERI TERCINTA

Wed, March 2, 2011 11:16:57 PM

nukilan: amirosafwan, jordan.






Coretan Untuk Bakal Isteri

Assalamualaikum wrt. wbt.

Untukmu, Bakal isteriku..

*izinkanku menggunakan "aku" dan "mu" dalam coretan hati ini...


Tangan ini mula menulis apa yang telah terbit dari hati kecilku ini. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu semata-mata akan tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya lalu mencukupkannya dan apa yang ku harapkan semoga dirimu tercipta untukku.


Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah yang ku tulis ini. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segala segi untuk bertemu denganmu wahai bidadari hatiku.


Aku mahukan pertemuan kita yang pertama dihadapan keluargamu kelihatan 'sempurna' di matamu, walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas dan pikul nanti. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya. Seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala yang ada dalam diriku ini.


Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah pula, digelar syeikh. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti dan aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi hanya untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Tetapi sehingga sekarang aku masih teguh menetapkannya.


Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mentarbiyyah diriku ini. Janji Allah pasti kupegang dalam misi memenangi dirimu kerana aku bergantung kepada Allah dan mengharapkan redhaNya dalam mendapatkan cinta darimu.


Setiap kali aku merasakan cintaku padamu, lalu aku serahkan cinta ini pada Allah. Sampaikanlah doamu kepada diriku agar aku dapat menahan hati ini untuk tetap padamu. Bukan harta, rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih sayang antara kita dan atas dasar agama inilah aku memilihmu. Aku tidak kisah siapa dirimu sebelum ini, kerana aku mengasihimu sungguh-sungguh kerana Allah, dan inilah jodoh yang terbaik buat diriku nanti yang telah Allah tetapkan. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah umpama delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.


"Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.”


Jika aku disatukan dengan dirimu nanti, akan ku jaga perasaan kasih ini sebaiknya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai ikatan hati untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian perasaan. Susah senang akan kita rasai dan lalui bersama, rintangan dan halangan akan kita tempuhi berdua. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan teguh dalam misi mendapatkan dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agama ini. Ya Allah campakkanlah cintaku dalam hatinya untukMU dan campakkanlah juga cintanya dalam hatiku buatMU.


*Jika coretan ini membantu buat para jundi untuk berdepan dengan wali serikandi, maka hadiahkanlah warkah ini sebagai pra"mahar" buat puterinya. InsyaAllah Rabbi Yassir a'laikum...

TERIMA KASIH KERANA SUDI BERTANDANG KE MEDAN DAKWAH ANA YANG DAIF INI, SEMOGA TINTA PENA YANG TERHIDANG DAPAT KITA HAYATI BERSAMA.
salam ukhwah dariku, amirosafwan.