Saturday, November 21, 2009

TANGISAN DALAM ISLAM

Belaianmu amat bernilai ummi

Tangisan menurut perspektif Islam, boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tangisan yang berbentuk negatif dan tangisan yang berbentuk positif. Tangisan yang dilarang ialah seperti meraung dan melolong dengan sekuat hati apabila menerima atau meratapi kematian. Tangisan seperti ini bukan sahaja dipandang negatif kepada orang yang melakukannya tetapi juga mayat yang diratapinya itu turut terseksa kerana perbuatannya. Ini berbeza dengan tangisan positif iaitu tangisan yang terjadi kerana cinta dan takut kepada Allah. Malah Nabi Muhammad pun menangis bila mengenangkan kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh umatnya serta tatkala baginda memohon ampun dari Allah. Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam Islam ialah:

1. Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah

Orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh malah sentiasa reda dengan apa yang mereka terima. Maka dengan sebab itu, orang-orang sebegini adakalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat-nikmat tersebut.

Sebagai contoh, dalam satu riwayat oleh Anas bahawa Rasulullah berkata kepada Ubay bin Ka’ab: “Allah menyuruh membacakan kepadamu Surah al-Bayyinah ayat 1, “Orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,” Ubay bertanya : Apakah Allah menyebut namaku? “Nabi menjawab ya, lalu menangislah Ubay (kerana mendengar berita gembira itu). Ayat tersebut menyatakan tentang pendirian kaum Yahudi dan Nasrani terhadap seruan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang telah menerangkan kepada mereka agama yang telah dibawa olehnya iaitu agama Islam. Mereka (Yahudi dan Nasrani) kenal Nabi Muhammad yang diutus sebagai rasul kepada umat akhir zaman, tetapi setelah baginda dibangkitkan mereka tidak percaya malah tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh baginda.

2. Kerana menyesali perbuatan dan dosa yang dilakukan

Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang telah melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh. Ekoran daripada penyesalan itu maka timbul rasa sedih yang mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata. Tangisan yang sedemikian itu timbul akibat wujudnya rasa kesedaran yang mendalam dan rasa takut yang amat sangat kepada Allah. Keadaan sebegini akhirnya akan mendorong seseorang itu bertaubat dan seterusnya kembali ke jalan yang benar. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 82 Surah al-Taubah:

“Maka hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang mereka telah kerjakan.”

3. Apabila bertambah keimanan kepada Allah

Iman yang tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata. Tangisan sebegini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana ia merupakan campuran antara rasa kesedaran dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Justeru tanpa disedari akan bercucuran tangisan akibat rasa keimanan yang begitu mendalam sebagaimana firman Allah dalam ayat 58, Surah Maryam;

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah, mereka segera sujud serta dan menangis.”

4. Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk

Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih tetapi kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan dengan pencipta-Nya. Bahkan, orang yang mencapai tahap kekhusyukan itu termasuk salah satu dari tujuh golongan yang memperoleh keistimewaan pada hari kiamat seperti sabda Rasulullah:

“Tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya (iaitu) : Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam beribadat kepada Allah, orang yang hatinya selalu rindu pada masjid, dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah iaitu bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan lalu ditolaknya dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seorang yang bersedekah dalam keadaan rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan menyendiri lalu menitis air matanya.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Bimbang terputusnya rahmat Allah

Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia boleh mengubah suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu. Sebagai contoh, pada suatu hari sesudah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar mengajak Saidina Umar ke rumah Ummu Aiman seperti mana Rasulullah semasa hayatnya sering menziarahinya. Sebaik sampai di rumah Ummu Aiman, tiba-tiba Ummu Aiman menangis.

Kedua-dua tetamunya itu lantas bertanya,Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Tidakkah engkau tahu bahawa yang tersedia di sisi Allah untuk Rasulullah jauh lebih baik? Ummu Aiman menjawab, Aku tidak menangis kerana itu melainkan kerana wahyu dari langit telah terputus (terhenti). Kata-kata Ummu Aiman itu ternyata mengharukan Abu Bakar dan Umar, lalu kedua-duanya turut menangis.

6. Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran

Adakalanya air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan. Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu. Hal ini pernah terjadi kepada segolongan pendeta apabila mengetahui al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah merupakan kebenaran dari Allah seperti firman-Nya:

Dan apabila mereka itu (segolongan pendeta) mendengar apa-apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau akan melihat mereka akan menitiskan air matanya, lantaran mengetahui kebenaran (seraya) mereka berkata; “Hai Tuhan kami! Kami telah beriman. Oleh kerana itu, catatlah kami dalam golongan orang-orang yang menyaksikan. Dan tidak patut kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, pada hal kami ingin supaya Tuhan memasukkan kami bersama kaum yang soleh.

(Surah al-Maidah:83-84)

Daripada maksud firman Allah tersebut, jelaslah bahawa tangisan yang positif mempunyai keutamaan di sisi Islam sehingga tangisan seumpama itu boleh mendatangkan manfaat yang besar. Ini kerana, orang yang menitiskan air mata kerana Allah sebenarnya merupakan orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam satu riwayat dari Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: Kami datang kepada Rasulullah sedang baginda menunaikan solat. Maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejana.

KELEBIHAN ZULHIJJAH

Sabda Rasulullah s.a.w : “Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai oleh Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, “Hatta jihad dijalan Allah (pun tidak dapat menandingi kelebihan yang ada pada hari itu?)” Jawab baginda, “Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Oleh yang demikian, ana berpesan pada diri ini serta sahabat2 seperjuangan skalian, marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan soleh seperti zikir (tasbih, tahmid dan takbir) serta ibadat sunat yang lain pada 10 hari pertama di bulan zulhijjah ini (1 zulhijah tahun ini bersamaan 18 november dan 10 zulhijah bersamaan dengan 27 november 2009). insyaAllah, mudah-mudahan kita mendapat ganjaran yang berlipat ganda dari Allah Taala.

Tuesday, November 17, 2009

JIWA SEORANG DAEI

Benarlah dalam jiwa seorang daei itu perlunya ada sifat sentiasa positif pada orang lain.. jika seorang itu telah melakukan dosa besar, tidak mustahil dia akan bertaubat dan menjadi lebih baik dari ahli ibadah..kerna hidayah itu mutlak milik Allah SWT. jadi di situlah peranan para daei untuk menjadi indikator kepada perubahan yang akan dilakukan oleh pendosa itu...menghulurkan tangan dengan penuh kasih sayang dan pengharapan supaya orang itu bertaubat.serta huluran doa yang tidak putus ke hadrat Allah SWT..bak kata seorang murabbi, "pandanglah seseorang itu dari kacamata dakwah".. tapi para daei.. perlu juga berhati-hati dalam mendekati sang pendosa.. kerana apa? kerana terkadang pendosa yang telah Allah gelapkan fikirannya, dan Allah tutupkan pintu hatinya dan orang-orang ini tidak lain hanya berpura-pura insaf di hadapanmu dan menunjukkan sifat naifnya untuk memancing simpatimu sedang dalam hatinya mengintai-intai peluang untuk mencelakakanmu... maka berlindunglah di bawah naungan cinta Allah SWT...itulah yang dinamakan 'hazar dalam berdakwah.'

AKU TINGGALKAN CINTANYA KERANA ALLAH

Sahabatku sekalian,

Kisah ini datang dari lubuk hati saya sendiri, apa yang saya rasa dan apa yang saya alami sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengeluh apatah lagi mengingkari apa yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada saya dan kita semua orang yang beriman dengan-Nya. Kisah ini saya khabarkan agar apa yang saya lalui tidak berlalu begitu saja tanpa saya kongsi dan tanpa saya rekodkan sebagai panduan bagi diri saya sendiri untuk hari-hari kemudian.

Saya sama seperti orang lain, punya keinginan untuk menyayangi dan disayangi. Walau bagaimanapun, tidak mudah bagi saya untuk jatuh hati pada seorang wanita. Saya tidak mencari seorang wanita untuk dijadikan kekasih, tetapi saya mencari seorang teman pendamping hidup saya hingga ke akhir hayat saya. Seorang yang boleh mengingatkan saya kiranya saya terlupa, dan yang paling penting wanita yang amat saya percayai untuk mendidik anak-anak saya kelak dan generasi yang akan lahir daripada keluarga kami nanti. Untuk itu, sejak di bangku sekolah lagi saya telah letakkan beberapa syarat bagi seorang wanita untuk hadir dalam hidup saya, dan dialah orangnya.

Dalam masa beberapa bulan saya belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Petaling Jaya, banyak perkara yang telah saya pelajari. Yang paling penting buat saya ialah, bagaimana saya mula mengenali wanita-wanita dalam hidup saya kerana saya sejak dari sekolah rendah belum pernah bergaul secara langsung dengan seorang wanita pun dan saya amat peka terhadap larangan pergaulan antara lelaki dan wanita kerana saya bersekolah di sebuah sekolah menengah agama lelaki berasrama penuh. Lantaran itu, saya tidak pernah punya hati untuk memberi cinta atau menerima cinta walaupun peluang itu hadir beberapa kali.

Sambungan...


Monday, November 16, 2009

TADJID IMAN

Bersama :
MUFTI KERAJAAN NEGERI PERLIS,
DR HJ JUANDA HJ JAYA

Semakin hari semakin cepat masa berlalu, meninggalkan catatan sejarah yang terukir dalam diari kehidupan setiap insan. Masa untuk kita bertafakur meraba nilai diri yang dicalit oleh tinta yang penuh noda.

Hitam dan putih, dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan, untung dan rugi, kegagalan dan kejayaan, semua itu mematangkan peribadi.

Rasanya baru sekejap anak dilahirkan, merangkak dan berlari, kini sama tinggi dengan ayah dan ibu mereka. Melihat cermin, nampak kulit semakin kedut, uban tumbuh di sana sini, hari-hari semakin sibuk melayari dunia yang mencabar keimanan.

Ada satu amalan paling sesuai dilakukan malam ini, bukalah album kenangan masa lalu dan letakkan ia di hati. Singkap lembaran demi lembaran yang mengandungi gambar mengenai kehidupan kita. Kemudian cuba fikirkan beberapa persoalan mengenai takdir yang anda lalui sepanjang tahun ini.

Betapa lemahnya daya ingatan kita, apatah lagi mahu menjawab beberapa soalan yang menjadi rahsia Tuhan ke atas diri kita. Mungkin ada yang menolak takdir ke atas dirinya, tapi selepas dijalani akhirnya Tuhan membuka matanya melihat bahawa takdir itu baik dan membawa kebahagiaan dalam hidupnya.

Sambungan...

Sunday, November 15, 2009

SALAM EIDUL ADHA

“Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang paling disukai oleh Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati.”

(at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلام

صيام يوم عرفة أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله والتي بعده

Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Arafah aku memohon kepada Allah (akan ganjaran kerana melakukan puasa hari ‘Arafah) supaya Allah menebus (dosa) setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.”

(riwayat Muslim)

“Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagian dari syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah jatuh(mati), maka makanlah sebagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya(yang tidak meminta-minta)dan orang yang meminta.”

(Al-Hajj:36)

TERIMA KASIH KERANA SUDI BERTANDANG KE MEDAN DAKWAH ANA YANG DAIF INI, SEMOGA TINTA PENA YANG TERHIDANG DAPAT KITA HAYATI BERSAMA.
salam ukhwah dariku, amirosafwan.